Kisah Nabi Ismail A.S
KISAH NABI ISMAIL A.S.
Nabi Ibrahim yang berhijrah
meninggalkan Mesir bersama Sarah, isterinya dan
Hajar, dayangnya di tempat tujuannya di Palestin. Ia telah membawa pindah
juga semua binatang ternakannya dan harta
miliknya yang telah diperolehinya sebagai hasil usaha niaganya di Mesir.
Al-Bukhari meriwayatkan daripada Ibnu Abbas r.a. berkata:
"Pertama-tama yang
menggunakan setagi {setagen} ialah Hajar ibu Nabi Ismail tujuan untuk
menyembunyikan kandungannya dari Siti Sarah yang telah lama berkumpul dengan
Nabi Ibrahim a.s. tetapi belum juga hamil. Tetapi walaubagaimana pun juga
akhirnya terbukalah rahsia yang disembunyikan itu dengan lahirnya Nabi Ismail
a.s. Dan sebagai lazimnya seorang isteri sebagai Siti Sarah merasa telah
dikalahkan oleh Siti Hajar sebagai seorang dayangnya yang diberikan kepada Nabi
Ibrahim a.s. Dan sejak itulah Siti Sarah merasakan bahawa Nabi Ibrahim a.s.
lebih banyak mendekati Hajar kerana merasa sangat gembira dengan puteranya yang
tunggal dan pertama itu, hal ini yang menyebabkan permulaan ada keratakan dalam
rumahtangga Nabi Ibrahim a.s. sehingga Siti Sarah merasa tidak tahan hati jika
melihat Siti Hajar dan minta pada Nabi Ibrahim a.s. supaya menjauhkannya dari
matanya dan menempatkannya di lain tempat."
Untuk sesuatu hikmah yang
belum diketahui dan disadari oleh Nabi Ibrahim Allah s.w.t. mewahyukan
kepadanya agar keinginan dan permintaan Sarah isterinya dipenuhi dan
dijauhkanlah Ismail bersama Hajar ibunya dan Sarah ke suatu tempat di mana yang
ia akan tuju dan di mana Ismail puteranya bersama ibunya akan ditempatkan dan
kepada siapa akan ditinggalkan.
Maka dengan tawakkal kepada Allah berangkatlah Nabi Ibrahim meninggalkan rumah membawa Hajar dan Ismail
yang diboncengkan di atas untanya tanpa tempat tujuan yang
tertentu. Ia hanya berserah diri kepada Allah yang akan memberi arah kepada
binatang tunggangannya. Dan berjalanlah unta Nabi Ibrahim dengan tiga
hamba Allah yang berada di atas punggungnya keluar kota masuk ke lautan pasir
dan padang terbuka di mana terik
matahari dengan pedihnya menyengat tubuh dan angin yang kencang
menghembur-hamburkan debu-debu pasir.
Ismail dan
ibunya Hajar ditinggalkan di Makkah
Setelah berminggu-minggu
berada dalam perjalanan jauh yang memenatkan, tibalah pada akhirnya Nabi
Ibrahim bersama Ismail dan ibunya di Makkah
kota suci dimana Kaabah didirikan dan menjadi kiblat
manusia dari seluruh dunia. Di tempat di mana Masjidil Haram sekarang berada,
berhentilah unta Nabi Ibrahim mengakhiri perjalanannya dan di situlah ia
meninggalkan Hajar bersama puteranya dengan hanya dibekali dengan serantang bekal
makanan dan minuman sedangkan keadaan sekitarnya tiada tumbuh-tumbuhan, tiada
air mengalir, yang terlihat hanyalah batu dan pasir kering. Alangkah sedih dan
cemasnya Hajar ketika akan ditinggalkan oleh Ibrahim seorang diri bersama
dengan anaknya yang masih kecil di tempat yang sunyi senyap dari segala-galanya
kecuali batu gunung dan pasir. Ia seraya merintih dan menangis, memegang
kuat-kuat baju Nabi Ibrahim memohon belas kasihnya, janganlah ia ditinggalkan
seorang diri di tempat yang kosong itu, tiada seorang manusia, tiada seekor
binatang, tiada pohon dan tidak terlihat pula air mengalir, sedangkan ia masih
menanggung beban mengasuh anak yang kecil yang masih menyusu. Nabi Ibrahim
mendengar keluh kesah Hajar merasa tidak tergamak meninggalkannya seorang diri
di tempat itu bersama puteranya yang sangat disayangi akan tetapi ia sedar
bahwa apa yang dilakukan nya itu adalah kehendak Allah s.w.t. yang tentu
mengandungi hikmat yang masih terselubung baginya dan ia sedar pula bahawa
Allah akan melindungi Ismail dan ibunya dalam tempat pengasingan itu dan segala
kesukaran dan penderitaan. Ia berkata kepada Hajar:
"Bertawakkallah kepada
Allah yang telah menentukan kehendak-Nya, percayalah kepada kekuasaan-Nya dan
rahmat-Nya. Dialah yang memerintah aku membawa kamu ke sini dan Dialah yang
akan melindungi mu dan menyertaimu di tempat yang sunyi ini. Sesungguh kalau
bukan perintah dan wahyunya, tidak sesekali aku tergamak meninggalkan kamu di
sini seorang diri bersama puteraku yang sangat ku cintai ini. Percayalah wahai
Hajar bahwa Allah Yang Maha Kuasa tidak akan melantarkan kamu berdua tanpa
perlindungan-Nya.
Rahmat dan barakah-Nya akan
tetap turun di atas kamu untuk selamanya, insya-Allah."
Mendengar kata-kata Ibrahim itu segeralah Hajar melepaskan genggamannya pada baju Ibrahim dan dilepaskannyalah beliau menunggang untanya kembali ke Palestin dengan iringan air mata yang bercurahan membasahi tubuh Ismail yang sedang menetak. Sedang Nabi Ibrahim pun tidak dapat menahan air matanya keetika ia turun dari dataran tinggi meninggalkan Makkah menuju kembali ke Palestin di mana isterinya Sarah dengan puteranya yang kedua Ishak sedang menanti. Ia tidak henti-henti selama dalam perjalanan kembali memohon kepada Allah perlindungan, rahmat dan barakah serta kurniaan rezeki bagi putera dan ibunya yang ditinggalkan di tempat terasing itu. Ia berkata dalam doanya:" Wahai Tuhanku! Aku telah tempatkan puteraku dan anak-anak keturunannya di dekat rumah-Mu (Baitullahil Haram) di lembah yang sunyi dari tanaman dan manusia agar mereka mendirikan solat dan beribadat kepada-Mu. Jadikanlah hati sebahagian manusia cenderung kepada mereka dan berilah mereka rezeki dari buah-buahan yang lazat, mudah-mudahan mereka bersyukur kepada-Mu."
Mata air
Zamzam
Sepeninggal Nabi Ibrahim
tinggallah Hajar dan puteranya di tempat yang terpencil dan sunyi itu. Ia harus
menerima nasib yang telah ditakdirkan oleh Allah atas dirinya dengan kesabaran
dan keyakinan penuh akan perlindungan-Nya. Bekalan makanan dan minuman yang
dibawanya dalam perjalanan pada akhirnya habis dimakan selama beberapa hari
sepeninggalan Nabi Ibrahim. Maka mulailah terasa oleh Hajar beratnya beban
hidup yang harus ditanggungnya sendiri tanpa bantuan suaminya. Ia masih harus
meneteki anaknya, namun air teteknya makin lama makin mengering disebabkan
kekurangan makan. Anak yang tidak dapat minuman yang memuaskan dari tetek
ibunya mulai menjadi cerewet dan tidak henti-hentinya menangis. Ibunya menjadi
panik, bingung dan cemas mendengar tangisan anaknya yang sgt menyayat hati itu.
Ia menoleh ke kanan dan ke kiri serta lari ke sana ke sini mencari sesuap
makanan atau seteguk air yang dapat meringankan kelaparannya dan meredakan
tangisan anaknya, namun sia-sialah usahanya. Ia pergi berlari harwalah menuju
bukit Shafa kalau-kalau ia boleh mendapatkan sesuatu yang dapat menolongnya
tetapi hanya batu dan pasir yang didapatnya disitu, kemudian dari bukit Shafa
ia melihat bayangan air yang mengalir di atas bukit Marwah dan larilah ia
berharwahlah ke tempat itu namun ternyata bahawa yang disangkanya air adalha
fatamorangana {bayangan} belaka dan kembalilah ke bukit Shafa karena mendengar
seakan-akan ada suara yang memanggilnya tetapi gagal dan melesetlah dugaannya.
Demikianlah maka kerana dorongan hajat hidupnya dan hidup anaknya yang sangat
disayangi, Hajar mundar-mundir berlari sampai tujuh kali antara bukit Shafa dan
Marwah yang pada akhirnya ia duduk termenung merasa penat dan hampir berputus
asa.
Diriwayatkan bahawa selagi
Hajar berada dalam keadaan tidak berdaya dan hampir berputus asa kecuali dari
rahmat Allah dan pertolongan-Nya datanglah kepadanya malaikat Jibril bertanya:
"Siapakah sebenarnya engkau ini?" "Aku adalah hamba sahaya
Ibrahim", jawab Hajar. "Kepada siapa engkau dititipkan di sini?"
tanya Jibril. "Hanya kepada Allah",jawab Hajar. Lalu berkata Jibril:
"Jika demikian, maka engkau telah dititipkan kepada Dzat Yang Maha Pemurah
Lagi Maha Pengasih, yang akan melindungimu, mencukupi keperluan hidupmu dan
tidak akan mensia-siakan kepercayaan ayah puteramu kepada-Nya."
Kemudian diajaklah Hajar
mengikutinya pergi ke suatu tempat di mana Jibril menginjakkan telapak kakinya
kuat-kuat di atas tanah dan segeralah memancur dari bekas telapak kaki itu air
yang jernih dengan kuasa Allah. Itulah dia mata air Zamzam yang sehingga kini
dianggap keramat oleh jemaah haji, berdesakan sekelilingnya bagi mendapatkan
setitik atau seteguk air daripadanya dan kerana sejarahnya mata air itu disebut
orang "Injakan
Jibril".
Alangkah gembiranya dan lega
dada Hajar melihat air yang mancur itu. Segera ia membasahi bibir puteranya
dengan air keramat itu dan segera pula terlihat wajah puteranya segar kembali,
demikian pula wajah si ibu yang merasa sangat bahagia dengan datangnya mukjizat
dari sisi Tuhan yang mengembalikan kesegaran hidup kepadanya dan kepada
puteranya sesudah dibayang-bayangi oleh bayangan mati kelaparan yang mencekam
dada.
Mancurnya air Zamzam telah
menarik burung-burung berterbangan mengelilingi daerah itu menarik pula
perhatian sekelompok bangsa Arab dari suku Jurhum yang merantau dan sedang berkhemah di
sekitar Makkah. Mereka mengetahui dari pengalaman bahawa di mana ada terlihat
burung di udara, nescaya dibawanya terdapat air, maka diutuslah oleh mereka
beberapa orang untuk memeriksa kebenaran teori ini. Para pemeriksa itu pergi
mengunjungi daerah di mana Hajar berada, kemudian kembali membawa berita
gembira kepada kaumnya tentang mata air Zamzam dan keadaan Hajar bersama
puteranya. Segera sekelompok suku Jurhum itu memindahkan perkhemahannya ke
tempat sekitar Zamzam, di mana kedatangan mereka disambut dengan gembira oleh
Hajar kerana adanya sekelompok suku Jurhum di sekitarnya, ia memperolehi
jiran-jiran yang akan menghilangkan kesunyian dan kesepian yang selama ini
dirasakan di dalam hidupnya berduaan dengan puteranya saja.
Hajar bersyukur kepada Allah
yang dengan rahmatnya telah membuka hati orang-orang itu cenderung datang
meramaikan dan memecahkan kesunyian lembah di mana ia ditinggalkan sendirian
oleh Ibrahim.
Ismail Bantu
Bapa Bina Kaabah
Nabi Ismail dibesarkan di
Makkah (pekarangan Kaabah). Apabila dewasa beliau berkahwin dengan wanita
daripada puak Jurhum. Walaupun tinggal di Makkah, Ismail sering dikunjungi
bapanya.
Pada satu ketika, bapanya
menerima wahyu daripada Allah supaya membina Kaabah. Perkara itu disampaikan
kepada anaknya. Ismail berkata: “Kerjakanlah apa yang diperintahkan Tuhanmu
kepadamu dan aku akan membantumu dalam pekerjaan mulia itu.”Ketika membina
Kaabah, Nabi Ibrahim berkata kepada Ismail: “Bawakan batu yang baik kepadaku
untuk aku letakkan di satu sudut supaya ia menjadi tanda kepada
manusia.”Kemudian Jibril memberi ilham kepada Ismail supaya mencari batu hitam
untuk diserahkan kepada Nabi Ibrahim.Setiap kali bangun, mereka berdoa: “Wahai
Tuhan kami, terimalah daripada kami (amalan kami), sesungguhnya Engkau Maha
Mendengar lagi Maha Mengetahui.”Bangunan (Kaabah) itu menjadi tinggi dan
Ibrahim makin lemah untuk mengangkat batu. Dia berdiri di satu sudut, kini
dikenali Makam Ibrahim.
Nabi Ibrahim sering
berulang-alik mengunjungi anaknya. Pada satu hari, beliau tiba di Makkah dan
mengunjungi rumah anaknya.Bagaimanapun, Ismail tiada di rumah ketika itu
melainkan isterinya. Isteri Ismail tidak mengenali orang tua itu adalah bapa
Ismail.Apabila Nabi Ibrahim bertanya isteri Nabi Ismail mengenai suaminya itu,
beliau diberitahu anaknya keluar berburu. Seterusnya Nabi Ibrahim bertanya
keadaan mereka berdua. Isterinya berkata: “Kami berada dalam kesempitan.”Nabi
Ibrahim berkata: “Apakah kamu mempunyai jamuan, makanan dan minuman?“ Dijawab
isteri Ismail: “Aku tidak mempunyainya, malah apa pun tiada.”Kelakukan isteri
Nabi Ismail itu tidak manis dipandang Nabi Ibrahim kerana kelihatan tidak reda
dengan pemberian Allah dan jemu untuk hidup bersama suaminya. Malah, dia
kelihatan bersifat kedekut kerana tidak mengalu-alukan kedatangan
tetamu.Akhirnya Nabi Ibrahim berkata kepada isteri anaknya: “Jika suamimu
kembali, sampaikanlah salamku kepadanya dan katakan kepadanya supaya dia
menggantikan pintunya.”
Selepas itu Nabi Ibrahim
beredar dari situ. Sejurus kemudian, Nabi Ismail pulang ke rumah dengan hati
gembira kerana dia menganggap tiada perkara tidak diingini berlaku sepanjang
ketiadaannya di rumah. Nabi Ismail bertanya isterinya: “Apakah ada orang datang
menemui kamu?“Isterinya berkata: “Ya, ada orang tua kunjungi kita.” Ismail
berkata: “Apakah dia mewasiatkan sesuatu kepadamu?“ Isterinya berkata: “Ya, dia
menyuruhku menyampaikan salam kepadamu dan memintaku mengatakan kepadamu supaya
menggantikan pintumu.”Ismail berkata: “Dia adalah bapaku. Sesungguhnya dia
menyuruhku supaya menceraikanmu, maka kembalilah kepada keluargamu.”Selepas
menceraikan isterinya, Nabi Ismail berkahwin lain, kali ini dengan seorang lagi
wanita daripada kaum Jurhum. Isteri
baru itu mendapat keredaan
bapanya kerana pandai menghormati tetamu, tidak menceritakan perkara yang
menjatuhkan maruah suami dan bersyukur dengan nikmat Allah. Ismail hidup
bersama isteri barunya itu hingga melahirkan beberapa anak.
Nabi Ismail mempunyai 12 anak
lelaki dan seorang anak perempuan yang dikahwinkan dengan anak saudaranya,
iaitu Al-’Ish bin Ishak. Daripada keturunan Nabi Ismail lahir Nabi Muhammad
s.a.w. Keturunan Nabi Ismail juga mewujudkan bangsa Arab Musta’ribah.
Nabi Ismail
sebagai Qurban
Nabi Ibrahim dari masa ke
semasa pergi ke Makkah untuk mengunjungi dan menjenguk Ismail di tempat
pengasingannya bagi menghilangkan rasa rindu hatinya kepada puteranya yang ia
sayangi serta menenangkan hatinya yang selalu rungsing bila mengenangkan
keadaan puteranya bersama ibunya yang ditinggalkan di tempat yang tandus, jauh
dari masyarakat kota dan pengaulan umum.
Sewaktu Nabi Ismail mencapai
usia remajanya Nabi Ibrahim a.s. mendapat mimpi bahwa ia harus menyembelih
Ismail puteranya. Dan mimpi seorang nabi adalah salah satu dari cara-cara
turunnya wahyu Allah, maka perintah yang diterimanya dalam mimpi itu harus
dilaksanakan oleh Nabi Ibrahim. Ia duduk sejurus termenung memikirkan ujian
yang maha berat yang ia hadapi. Sebagai seorang ayah yang dikurniai seorang
putera yang sejak puluhan tahun diharap-harapkan dan didambakan, seorang putera
yang telah mencapai usia di mana jasa-jasanya sudah dapat dimanfaatkan oleh si
ayah, seorang putera yang diharapkan menjadi pewarisnya dan penyampung
kelangsungan keturunannya, tiba-tiba harus dijadikan qurban dan harus direnggut
nyawa oleh tangan si ayah sendiri.
Namun ia sebagai seorang
Nabi, pesuruh Allah dan pembawa agama yang seharusnya menjadi contoh dan teladan bagi para pengikutnya dalam
bertaat kepada Allah, menjalankan segala perintah-Nya dan menempatkan cintanya
kepada Allah di atas cintanya kepada anak, isteri, harta benda dan lain-lain.
Ia harus melaksanakan perintah Allah yang diwahyukan melalui mimpinya, apa pun
yang akan terjadi sebagai akibat pelaksanaan perintah itu.
Sungguh amat berat ujian yang
dihadapi oleh Nabi Ibrahim, namun sesuai dengan firman Allah yang bermaksud:
"Allah lebih mengetahui di mana dan kepada siapa Dia mengamanatkan
risalahnya". Nabi Ibrahim tidak membuang masa lagi, berazam (niat) tetap
akan menyembelih Nabi Ismail puteranya sebagai qurban sesuai dengan perintah
Allah yang telah diterimanya. Dan berangkatlah serta merta Nabi Ibrahim menuju
ke Makkah untuk menemui dan menyampaikan kepada puteranya apa yang Allah
perintahkan.
Nabi Ismail sebagai anak yang
soleh yang sangat taat kepada Allah dan bakti kepada orang tuanya, ketika
diberitahu oleh ayahnya maksud kedatangannya kali ini tanpa ragu-ragu dan
berfikir panjang berkata kepada ayahnya:
"Wahai ayahku!
Laksanakanlah apa yang telah diperintahkan oleh Allah kepadamu. Engkau akan
menemuiku insya-Allah sebagai seorang yang sabar dan patuh kepada perintah. Aku
hanya meminta dalam melaksanakan perintah Allah itu, agar ayah mengikatku
kuat-kuat supaya aku tidak banyak bergerak sehingga menyusahkan ayah, kedua
agar menanggalkan pakaianku supaya tidak terkena darah yang akan menyebabkan
berkurangnya pahalaku dan terharunya ibuku bila melihatnya, ketiga tajamkanlah
parangmu dan percepatkanlah perlaksanaan penyembelihan agar menringankan
penderitaan dan rasa pedihku, keempat dan yang terakhir sampaikanlah salamku
kepada ibuku berikanlah kepadanya pakaian ku ini untuk menjadi penghiburnya
dalam kesedihan dan tanda mata serta kenang-kenangan baginya dari putera
tunggalnya."
Kemudian dipeluknyalah Ismail
dan dicium pipinya oleh Nabi Ibrahim seraya berkata:
"Bahagialah aku
mempunyai seorang putera yang taat kepada Allah, bakti kepada orang
tua yang dengan ikhlas hati
menyerahkan dirinya untuk melaksanakan perintah Allah".
Saat penyembelihan yang
mengerikan telah tiba. Diikatlah kedua tangan dan kaki Ismail, dibaringkanlah
ia di atas lantai, lalu diambillah parang
tajam yang sudah tersedia dan sambil memegang parang di tangannya, kedua mata
nabi Ibrahim yang tergenang air berpindah memandang dari wajah puteranya ke
parang yang mengilap di tangannya, seakan-akan pada masa itu hati beliau
menjadi tempat pertarungan antara perasaan seorang ayah di satu pihak dan
kewajiban seorang rasul di satu pihak yang lain. Pada akhirnya dengan
memejamkan matanya, parang diletakkan pada leher Nabi Ismail dan
penyembelihan di lakukan . Akan tetapi apa daya, parang yang sudah demikian
tajamnya itu ternyata menjadi tumpul dileher Nabi Ismail dan tidak dapat
berfungsi sebagaimana mestinya dan sebagaimana diharapkan.
Kejadian tersebut merupakan
suatu mukjizat dari Allah yang menegaskan bahwa perintah perkorbanan Ismail itu
hanya suatu ujian bagi Nabi Ibrahim dan Nabi Ismail sampai sejauh mana cinta
dan taat mereka kepada Allah. Ternyata keduanya telah lulus dalam ujian yang
sangat berat itu. Nabi Ibrahim telah menunjukkan kesetiaan yang tulus dengan
perkorbanan puteranya. untuk berbakti melaksanakan perintah Allah sedangkan
Nabi Ismail tidak sedikit pun ragu atau bimbang dalam memperagakan kebaktiannya
kepada Allah dan kepada orang tuanya dengan menyerahkan jiwa raganya untuk
dikorbankan, sampai-sampai terjadi seketika merasa bahwa parang itu tidak lut
memotong lehernya, berkatalah ia kepada ayahnya:" Wahai ayahku!
Rupa-rupanya engkau tidak sampai hati memotong leherku karena melihat wajahku,
cubalah telangkupkan aku dan laksanakanlah tugasmu tanpa melihat wajahku.
"Akan tetapi parang itu tetap tidak berdaya mengeluarkan setitik darah pun dari daging Ismail walau ia telah ditelangkupkan dan dicuba memotong
lehernya dari belakang.
Dalam keadaan bingung dan
sedih hati, kerana gagal dalam usahanya menyembelih puteranya, datanglah kepada
Nabi Ibrahim wahyu Allah dengan firmannya: "Wahai Ibrahim! Engkau telah
berhasil melaksanakan mimpimu, demikianlah kami akan membalas orang-orang yang
berbuat kebajikkan". Kemudian sebagai tebusan ganti nyawa, Ismail telah
diselamatkan itu, Allah memerintahkan Nabi Ibrahim menyembelih seekor kambing yang telah tersedia di sampingnya dan segera dipotong leher kambing itu
oleh beliau dengan parang yang tumpul di leher puteranya Ismail itu. Dan inilah
asal permulaan sunnah berqurban yang dilakukan oleh umat Islam pada tiap Hari Raya Aidiladha di seluruh pelosok dunia.
Baca Juga : Kisah Nabi Lainnya
Komentar
Posting Komentar